LUMPUR – Penyanyi Malaysia, Kamal Hyzail menafikan dakwaan kononnya beliau menggunakan lirik kasar atau berbau lucah semata-mata untuk meraih publisiti murahan dalam industri muzik. Sebaliknya, Kamal menegaskan bahawa karya terbaharunya berjudul “K-PAP (Kamu Pusing Aku Pening)” mengetengahkan realiti kehidupan sebenar masyarakat dengan pendekatan satira dan humor.



Menurut Kamal Hyzail, lagu K-PAP terinspirasi daripada pengalaman kehidupan seharian, termasuk perbezaan bahasa antara Malaysia dan Indonesia yang sering membawa maksud berlainan walaupun menggunakan ayat yang sama. Situasi ini kerap menimbulkan salah faham, namun pada masa yang sama mencetuskan sisi humor yang menarik untuk diketengahkan.
“Kadangkala ayat yang sama membawa maksud berbeza. Saya cuba tonjolkan sisi budaya ini dengan pendekatan humor dan satira, bukan untuk mencetuskan kontroversi,” katanya.
Lagu K-PAP merupakan hasil ciptaan Jahad dengan lirik yang digarap oleh J.Looi bersama Kamal sendiri. Lagu ini menggabungkan elemen muzik koplo, pop dan rock yang rancak, sekali gus menampilkan warna muzik yang lebih segar berbanding single-single Kamal sebelum ini.
Sebelum ini, Kamal Hyzail pernah tampil dengan lagu Menanti yang berkonsepkan slow rock serta Koyak Ker yang berentak fast rock. Melalui K-PAP, beliau memilih untuk bereksperimen dengan susunan muzik yang lebih santai, ceria dan dekat dengan pendengar.
“Untuk kali ini, saya tampilkan identiti muzik yang lebih segar dan berbeza. Saya mahu muzik yang mudah dinikmati, tetapi masih ada cerita dan mesej di dalamnya,” ujar Kamal.
Video muzik K-PAP turut menampilkan pelakon dan pelawak veteran, Farouk Hussain, selain kehadiran Adalia, anak kepada penyanyi terkenal Amy Mastura, sebagai penari. Gabungan lakonan, tarian dan elemen komedi menjadikan video muzik tersebut lebih hidup dan menghiburkan.
Kamal menegaskan bahawa penggunaan humor dalam lagu dan video muzik itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai usaha mencari sensasi murahan. Sebaliknya, ia adalah pendekatan kreatif untuk menyampaikan realiti kehidupan dengan cara yang lebih ringan dan mudah diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berharap lagu K-PAP dapat diterima sebagai hiburan positif yang meraikan perbezaan budaya, sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat serumpun melalui medium muzik.
“Kalau pendengar boleh tersenyum, terhibur dan memahami mesej yang ingin disampaikan, itu sudah cukup bermakna buat saya sebagai seorang pengkarya,” katanya.










